Pengagihan (pembagian) zakat sebagai
sara hidup (dana konsumtif) yang selama ini diutamakan oleh institusi zakat,
tidak melepaskan asnaf daripada kelompok penerima (mustahik). Oleh itu, pola pengagihan zakat yang lebih membawa kesan
adalah dengan pengagihan zakat produktif. Agihan zakat produktif boleh memberi
peluang kepada asnaf untuk meningkatkan produktiviti, seterusnya meningkatkan
pendapatan dan akhirnya menjadi pembayar zakat (Zakaria Bahari, 2011:355).
Ruziah Ghazali (2011) menyatakan bahawa
agihan zakat selain untuk peningkatan ekonomi, hendaknya meningkatkan kualiti
hidup mustahik pula. Amil zakat
berperan mendidik dan mengarah tingkah laku mustahik
agar tidak terus-menerus ingin mendapat bantuan modal kerja dan seterusnya
memiliki cita-cita untuk membuat perubahan hidup mereka
melalui bantuan modal sehingga menjadi usahawan (entrepreneur)atau bentuk pendekatan lain bagi meningkatkan taraf
hidup mereka.
Oleh itu, dalam mengembangkan ekonomi
umat Islam, beberapa institusi zakat telah menunjukkan keprihatinan dalam
menjana (merekrut) tenaga usahawan dalam kalangan asnaf. Program keusahawanan (entrepreneurship) dengan bantuan modal
kerja sebagai salah satu mekanisme pengagihan dana zakat kepada asnaf fakir dan
miskin merupakan proses jangka panjang. Mohd
Abd Wahab Fatoni Mohd Balwi dan Adibah Hasanah Abd Halim (2008) menjelaskan lima
fasa yang perlu dilalui oleh seseorang asnaf untuk menjadi usahawan di bawah
bimbingan institusi zakat iaitu pendedahan, pendidikan, pelaksanaan, pemasaran,
dan pemantauan.
Armiadi (2008) pula mengakui bahawa realiti
pemerkasaan agihan zakat produktif terhadap asnaf mencakupi sebelum dan selepas
menerima bantuan zakat berupa pinjaman modal kerja dengan akad Qardh al-Hasan. Sebelum bantuan modal
kerja diberikan, amil sebaiknya melaksanakan penyelidikan mengenai kelayakan
calon penerima modal kerja. Dalam hal ini mencakupi integriti calon penerima,
bidang apa yang patut diceburi, dan pelbagai aspek pendukung lainnya. Setelah
diberikan bantuan modal kerja, kemudian asnaf wajib diberikan arahan dan motivasi
agar mampu mengembalikan modal tersebut untuk digunakan oleh mustahik berikutnya. Dengan itu, pemerkasaan terhadap asnaf akan mempastikan agihan zakat
bersifat produktif dan edukatif (M.Zaidi Abdad, 2003).
Tidak ada komentar:
Posting Komentar