Senin, 08 Juli 2013

PEMBANGUNAN USAHAWAN ASNAF



Pengagihan (pembagian) zakat sebagai sara hidup (dana konsumtif) yang selama ini diutamakan oleh institusi zakat, tidak melepaskan asnaf daripada kelompok penerima (mustahik). Oleh itu, pola pengagihan zakat yang lebih membawa kesan adalah dengan pengagihan zakat produktif. Agihan zakat produktif boleh memberi peluang kepada asnaf untuk meningkatkan produktiviti, seterusnya meningkatkan pendapatan dan akhirnya menjadi pembayar zakat (Zakaria Bahari, 2011:355).

Ruziah Ghazali (2011) menyatakan bahawa agihan zakat selain untuk peningkatan ekonomi, hendaknya meningkatkan kualiti hidup mustahik pula. Amil zakat berperan mendidik dan mengarah tingkah laku mustahik agar tidak terus-menerus ingin mendapat bantuan modal kerja dan seterusnya memiliki cita-cita untuk membuat perubahan hidup mereka melalui bantuan modal sehingga menjadi usahawan (entrepreneur)atau bentuk pendekatan lain bagi meningkatkan taraf hidup mereka.

Oleh itu, dalam mengembangkan ekonomi umat Islam, beberapa institusi zakat telah menunjukkan keprihatinan dalam menjana (merekrut) tenaga usahawan dalam kalangan asnaf. Program keusahawanan (entrepreneurship) dengan bantuan modal kerja sebagai salah satu mekanisme pengagihan dana zakat kepada asnaf fakir dan miskin merupakan proses jangka panjang. Mohd Abd Wahab Fatoni Mohd Balwi dan Adibah Hasanah Abd Halim (2008) menjelaskan lima fasa yang perlu dilalui oleh seseorang asnaf untuk menjadi usahawan di bawah bimbingan institusi zakat iaitu pendedahan, pendidikan, pelaksanaan, pemasaran, dan pemantauan.

Armiadi (2008) pula mengakui bahawa realiti pemerkasaan agihan zakat produktif terhadap asnaf mencakupi sebelum dan selepas menerima bantuan zakat berupa pinjaman modal kerja dengan akad Qardh al-Hasan. Sebelum bantuan modal kerja diberikan, amil sebaiknya melaksanakan penyelidikan mengenai kelayakan calon penerima modal kerja. Dalam hal ini mencakupi integriti calon penerima, bidang apa yang patut diceburi, dan pelbagai aspek pendukung lainnya. Setelah diberikan bantuan modal kerja, kemudian asnaf wajib diberikan arahan dan motivasi agar mampu mengembalikan modal tersebut untuk digunakan oleh mustahik berikutnya. Dengan itu, pemerkasaan  terhadap asnaf akan mempastikan agihan zakat bersifat produktif dan edukatif (M.Zaidi Abdad, 2003).