Di antara tujuan kehadiran Islam
ialah mewujudkan keamanan dan kesejahteraan umat manusia. Firman Allah SWT:
“Dan tidaklah Aku mengutusmu
melainkan menjadi rahmat bagi semesta alam.” (Surah
Al-Anbiya’ (21): 107)
Kehadiran Islam mendidik manusia supaya dapat menjadi penebar
kasih sayang di dalam kehidupan bermasyarakat. Wujud kasih sayang diaplikasikan
dengan sikap peka (memberi perhatian) dan tolong menolong di dalam menjalani
kehidupan. Begitu pula anjuran Nabi Muhammad s.a.w di dalam hadis:
Dari Abu Hurairah r.a., Rasulullah
SAW bersabda: “Barangsiapa yang melapangkan nafas seorang Islam dari suatu
kesusahan dari kesusahan-kesusahan dunia, maka Allah akan melapangkan nafasnya
orang itu dari suatu kesusahan dari kesusahan-kesusahan akhirat.”
(Muslim, Hadis
No.36 didalam kitab Hadis Arba’in Imam Nawawi)
Hadis ini berpesan kepada umat Islam
agar mengambil berat permasalahan yang menimpa orang lain, kemudian
bertanggungjawab pula untuk membantu mengatasi permasalahan-permasalahan itu.
Inilah bentuk tanggungjawab sosial sesama umat.
Tindakan negara Turki yang berusaha
membantu meringankan beban masyarakat Aceh selepas tsunami merupakan sikap yang
selari dengan anjuran ajaran al-Qur’an dan Hadis tersebut di atas. Masyarakat
Turki yang majoriti beragama Islam berupaya membantu masyarakat Aceh yang
ditimpa kemalangan. Manakala diketahui bahawa masyarakat Aceh pula majoriti
beragama Islam[1].
Hal ini merupakan bukti persaudaraan Islam yang kukuh dan membantah pendapat
yang menyatakan bahawa negara yang majoriti penduduknya Islam tidak memberi
perhatian yang besar kepada Aceh pasca Tsunami[2].
Tindakan organisasi bukan kerajaan (NGO) dari negara Turki pula mempamerkan
bahawa mereka memberi perhatian yang besar kepada negara-negara muslim yang
dilanda musibah.
Salah
satu Organisasi bukan kerajaan dari Turki bernama Kimse Yok Mu sangat aktif
membantu negara-negara yang majoriti penduduknya Islam. Kimse Yok Mu bukan
organisasi yang meminta bantuan dari luar negara. Bukan pula organisasi yang
menunggu program negara Barat untuk program liberalisasi. Kimse Yok Mu adalah
organisasi bukan kerajaan (NGO) yang murni dari kesadaran umat Islam di Turki
sebagai lembaga bantuan kemanusiaan. Ketika tsunami menimpa Aceh, telefon kantor
Kimse Yok Mu
yang baru berdiri[3]
tidak pernah berhenti berdering. Umat Islam disana mengingatkan bahawa “anda
mesti mengambil tindakan membantu mangsa”. Perjalanan pertama bantuan
kemanusiaan ini disusul setahun kemudian dengan bantuan terhadap gempa bumi di
Pakistan.

Kimse Yok Mu
adalah NGO yang suka membantu dan kerana itu dibantu oleh masyarakat. Kimse Yok
Mu sentiasa berusaha membangun perhubungan kasih sayang dunia. Inilah salah
satu karakter Islam yang sebenarnya yaitu
rahmatan lil alamin (Hamid Fahmy Zarkasyi, 2011).
Menurut Abu Zahrah (1987), sikap
tolong-menolong adalah wujud tanggungjawab sosial di kalangan masyarakat yang
tidak sahaja terbatas di dalam segi-segi kebendaan, malah meliputi juga
segi-segi moral dan spiritual. Bentuk bantuan Turki pula mempamerkan efektifiti
bantuan bagi wilayah muslim yang dilanda musibah. Musibah yang menimpa Aceh
bukan sahaja berakibat terhadap material, namun juga spiritual. Negara Turki
membantu Aceh pasca tsunami dengan mengambil kira dua bentuk pendekatan ini. Di
samping membantu dengan material seperti: makanan, pakaian, peralatan sekolah,
Turki juga membantu dengan penyediaan guru dan kemudahan pendidikan lainnya.
Selain itu juga membantu menyediakan kemudahan untuk beribadah seperti
pembangunan semula mesjid yang rosak di desa Lampuuk, Aceh Besar. Sebab pendekatan
spiritual juga akan membantu masyarakat Aceh untuk bersemangat dan bangkit
semula membangun wilayah pasca tsunami.
Masyarakat
Aceh merasa bangga dan selesa dengan datangnya bantuan Turki di Aceh pasca
tsunami disebabkan wilayah Aceh telah mengisytiharkan sebagai Serambi Mekkah
dan wilayah yang menerapkan syariat Islam. Oleh itu, masuknya bantuan Turki
dianggap tidak akan membahayakan agama dan budaya penduduk yang majoriti
beragama Islam. Oleh itu pertubuhan bukan kerajaan dari Turki seperti TRCS
mendapat kepercayaan yang besar dari pemerintah Aceh dan dengan mudah mendapat
izin untuk menjalankan aktifiti kemanusiaan di Aceh (Benthal, 2008).
Berdasarkan
huraian sebelumnya didapati bahawa tanggungjawab sosial Turki turut disorot
dalam aspek agama. Namun aspek lainnya seperti hubungan emosional turut memberi
pengaruh pula dalam bantuan dari negara Turki kepada Aceh. Namun, hubungan
emosional ini juga berkait rapat dengan persaudaraan Islam pada masa lalu.
[1] Jumlah persentase penduduk Aceh yang beragama Islam adalah
98,93% (data Kantor Kementerian Agama Provinsi Aceh tahun 2009). Sumber
daripada http://aceh.bps.go.id diakses pada 19 Mei 2012.
[2]
Selari dengan pendapat Din Samsudin dalam Arab Saudi Hibahkan Rp4,8 Triliun
untuk Aceh. Berkaitan dengan batuan negara muslim kepada Aceh, Din
Samsudin menyatakan: “Jadi, sesungguhnya
negara-negara Islam memiliki komitmen yang sangat kuat untuk membantu
masyarakat korban gempa. Besarnya bantuan ini bisa diartikan sebagai sangkalan
terhadap opini yang berkembang bahwa bantuan dari negara-negara Islam sangat
kecil. Ini terjadi akibat kurangnya publikasi.”
[3] Kimse Yok Mu berdiri
tahun 2002 sebagai tanggapan atas besarnya sumbangan masyarakat Turki terhadap
gempa yang menimpa Negara Turki pada tahun 1999.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar