Minggu, 05 Agustus 2012

TANGGUNGJAWAB SOSIAL ISLAM TURKI KEPADA ACEH PASCA-TSUNAMI


Di antara tujuan kehadiran Islam ialah mewujudkan keamanan dan kesejahteraan umat manusia. Firman Allah SWT:

“Dan tidaklah Aku mengutusmu melainkan menjadi rahmat bagi semesta alam.” (Surah Al-Anbiya’ (21): 107)

Kehadiran Islam mendidik manusia supaya dapat menjadi penebar kasih sayang di dalam kehidupan bermasyarakat. Wujud kasih sayang diaplikasikan dengan sikap peka (memberi perhatian) dan tolong menolong di dalam menjalani kehidupan. Begitu pula anjuran Nabi Muhammad s.a.w  di dalam hadis:
Dari Abu Hurairah r.a., Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa yang melapangkan nafas seorang Islam dari suatu kesusahan dari kesusahan-kesusahan dunia, maka Allah akan melapangkan nafasnya orang itu dari suatu kesusahan dari kesusahan-kesusahan akhirat.” (Muslim, Hadis No.36 didalam kitab Hadis Arba’in Imam Nawawi)

Hadis ini berpesan kepada umat Islam agar mengambil berat permasalahan yang menimpa orang lain, kemudian bertanggungjawab pula untuk membantu mengatasi permasalahan-permasalahan itu. Inilah bentuk tanggungjawab sosial sesama umat.

Tindakan negara Turki yang berusaha membantu meringankan beban masyarakat Aceh selepas tsunami merupakan sikap yang selari dengan anjuran ajaran al-Qur’an dan Hadis tersebut di atas. Masyarakat Turki yang majoriti beragama Islam berupaya membantu masyarakat Aceh yang ditimpa kemalangan. Manakala diketahui bahawa masyarakat Aceh pula majoriti beragama Islam[1]. Hal ini merupakan bukti persaudaraan Islam yang kukuh dan membantah pendapat yang menyatakan bahawa negara yang majoriti penduduknya Islam tidak memberi perhatian yang besar kepada Aceh pasca Tsunami[2]. Tindakan organisasi bukan kerajaan (NGO) dari negara Turki pula mempamerkan bahawa mereka memberi perhatian yang besar kepada negara-negara muslim yang dilanda musibah.

Salah satu Organisasi bukan kerajaan dari Turki bernama Kimse Yok Mu sangat aktif membantu negara-negara yang majoriti penduduknya Islam. Kimse Yok Mu bukan organisasi yang meminta bantuan dari luar negara. Bukan pula organisasi yang menunggu program negara Barat untuk program liberalisasi. Kimse Yok Mu adalah organisasi bukan kerajaan (NGO) yang murni dari kesadaran umat Islam di Turki sebagai lembaga bantuan kemanusiaan. Ketika tsunami menimpa Aceh, telefon kantor Kimse Yok Mu yang baru berdiri[3] tidak pernah berhenti berdering. Umat Islam disana mengingatkan bahawa “anda mesti mengambil tindakan membantu mangsa”. Perjalanan pertama bantuan kemanusiaan ini disusul setahun kemudian dengan bantuan terhadap gempa bumi di Pakistan.  

Kimse Yok Mu adalah NGO yang suka membantu dan kerana itu dibantu oleh masyarakat. Kimse Yok Mu sentiasa berusaha membangun perhubungan kasih sayang dunia. Inilah salah satu karakter Islam yang sebenarnya yaitu rahmatan lil alamin (Hamid Fahmy Zarkasyi, 2011).

Menurut Abu Zahrah (1987), sikap tolong-menolong adalah wujud tanggungjawab sosial di kalangan masyarakat yang tidak sahaja terbatas di dalam segi-segi kebendaan, malah meliputi juga segi-segi moral dan spiritual. Bentuk bantuan Turki pula mempamerkan efektifiti bantuan bagi wilayah muslim yang dilanda musibah. Musibah yang menimpa Aceh bukan sahaja berakibat terhadap material, namun juga spiritual. Negara Turki membantu Aceh pasca tsunami dengan mengambil kira dua bentuk pendekatan ini. Di samping membantu dengan material seperti: makanan, pakaian, peralatan sekolah, Turki juga membantu dengan penyediaan guru dan kemudahan pendidikan lainnya. Selain itu juga membantu menyediakan kemudahan untuk beribadah seperti pembangunan semula mesjid yang rosak di desa Lampuuk, Aceh Besar. Sebab pendekatan spiritual juga akan membantu masyarakat Aceh untuk bersemangat dan bangkit semula membangun wilayah pasca tsunami.

Masyarakat Aceh merasa bangga dan selesa dengan datangnya bantuan Turki di Aceh pasca tsunami disebabkan wilayah Aceh telah mengisytiharkan sebagai Serambi Mekkah dan wilayah yang menerapkan syariat Islam. Oleh itu, masuknya bantuan Turki dianggap tidak akan membahayakan agama dan budaya penduduk yang majoriti beragama Islam. Oleh itu pertubuhan bukan kerajaan dari Turki seperti TRCS mendapat kepercayaan yang besar dari pemerintah Aceh dan dengan mudah mendapat izin untuk menjalankan aktifiti kemanusiaan di Aceh (Benthal, 2008).

Berdasarkan huraian sebelumnya didapati bahawa tanggungjawab sosial Turki turut disorot dalam aspek agama. Namun aspek lainnya seperti hubungan emosional turut memberi pengaruh pula dalam bantuan dari negara Turki kepada Aceh. Namun, hubungan emosional ini juga berkait rapat dengan persaudaraan Islam pada masa lalu.



[1] Jumlah persentase penduduk Aceh yang beragama Islam adalah 98,93% (data Kantor Kementerian Agama Provinsi Aceh tahun 2009). Sumber daripada http://aceh.bps.go.id diakses pada 19 Mei 2012.

[2] Selari dengan pendapat Din Samsudin dalam Arab Saudi Hibahkan Rp4,8 Triliun untuk Aceh. Berkaitan dengan batuan negara muslim kepada Aceh, Din Samsudin menyatakan: “Jadi, sesungguhnya negara-negara Islam memiliki komitmen yang sangat kuat untuk membantu masyarakat korban gempa. Besarnya bantuan ini bisa diartikan sebagai sangkalan terhadap opini yang berkembang bahwa bantuan dari negara-negara Islam sangat kecil. Ini terjadi akibat kurangnya publikasi.

[3] Kimse Yok Mu berdiri tahun 2002 sebagai tanggapan atas besarnya sumbangan masyarakat Turki terhadap gempa yang menimpa Negara Turki pada tahun 1999.