Zakat merupakan salah satu instrumen
dalam ekonomi Islam untuk mewujudkan pemerataan kesejahteraan masyarakat.
Rif’at Abd. Al-Latif Masyhur (2002:572) menyatakan bahawa zakat pada dasarnya
bertujuan untuk kesejahteraan Muslim secara keseluruhan, sama ada material
mahupun spiritual untuk memenuhi tingkat kehidupan yang layak bagi manusia.
Pemenuhan kesejahteraan ini bahkan boleh berlangsung seumur hidup, artinya
orang miskin yang diberi bantuan zakat dapat tercabut dari kemiskinannya dan
terjadi peningkatan taraf hidupnya untuk selamanya sehingga tidak memerlukan
zakat lagi.
Walau bagaimanapun, untuk membantu fakir
miskin yang mampu bekerja, maka pengagihan (distribusi) zakat produktif dirasakan paling
tepat untuk meningkatkan taraf sosial dan ekonomi mereka. Dengan zakat
produktif, mustahik boleh memenuhi
keperluan hidupnya secara berterusan di masa akan datang dan pada akhirnya
diharapkan boleh mengangkat taraf hidupnya sehingga menjadi muzakki.
Armiadi (2008:127) menjelaskan bahawa
pengagihan zakat produktif merupakan usaha untuk memperkasa mustahik yang berasal dari golongan
fakir miskin. Fakir miskin hendaklah menjadi golongan yang diutamakan dalam
pemerkasaan (pemberdayaan) melalui zakat produktif disebabkan golongan ini sangat terdedah
(rentan) apabila terjadi keadaan turun naik perekonomian negara. Dikhuatiri jika tidak
diusahakan pemerkasaan, maka keadaan golongan ini bertambah teruk (parah) kefakiran dan
kemiskinannya.
Oleh itu, mengikut Ataul Huq Pramanik
(1998:19) jika sekiranya sejumlah wang dalam bentuk tunai diagihkan kepada
golongan miskin melalui sistem zakat saradiri, maka dikhuatiri akan melemahkan
semangat mereka untuk bekerja. Oleh itu, sebahagian besar dana zakat hendaklah
diagihkan (didistribusikan) dalam kegiatan produktif dan aktiviti penjanaan pendapatan serta
membuka peluang pekerjaan kepada mereka yang tidak mahir dan tidak terlatih
yang juga termasuk asnaf yang berhak menerima zakat. Pembinaan industri
pengeluaran barangan kecil dan sederhana boleh memberi peluang kepada ramai
pekerja yang mahir dan separuh mahir untuk menyertainya.
Namun demikian, pengagihan zakat dalam
pembangunan ekonomi umat sangat ditentukan oleh polisi (kebijakan) pemerintah sebagai amil
zakat. Mujaini Tarimin (2000:21) mencadangkan agar pemerintah merancang konsep
agihan zakat jangka panjang yang menepati objektif agihan zakat kerana
kemiskinan tidak boleh dibanteras dalam masa yang singkat. Oleh itu, golongan
fakir dan miskin yang mempunyai tubuh badan yang sihat dan mempunyai kebolehan
dalam bidang-bidang perusahaan, perindustrian, perniagaan, pertanian, dan
perkhidmatan layak diberikan perhatian. Pemerintah selayaknya membantu mereka
dalam bentuk modal dan bimbingan supaya mereka dapat keluar daripada taraf
fakir atau miskin.
Kesan (pengaruh) pengagihan zakat produktif yang
dijalankan oleh institusi zakat telah menunjukkan kejayaan dalam pemerkasaan
penerima zakat. Kajian Shafwan Bendadeh (2011) terhadap penerima agihan zakat
produktif di Baitul Mal Aceh menunjukkan bahawa sebahagian besarnya iaitu 82.4 peratus
usahawan asnaf merasakan bahawa aktifiti keusahawanan yang diceburi mengalami
kemajuan dan berjalan baik dan sebagahagiannya lagi iaitu 17.6 peratus usahawan
asnaf menyatakan tiada merasakan sebarang perubahan. Jika ditinjau dari
pengaruh pendapatan keluarga setelah memperoleh modal kerja zakat produkif,
maka asnaf menjadi lebih terbantu untuk memenuhi keperluan hidup sehari-hari
seramai 45.1 peratus, pendidikan anak-anak lebih terjamin seramai 29.4 peratus,
kesihatan keluarga menjadi terkawal seramai 10.8 peratus, rumah kediaman sesuai
untuk didiami seramai 6.9 peratus dan memiliki tabungan untuk persediaan
masa-masa kesukaran seramai 7.8 peratus. Gambaran ini menunjukkan bahawa agihan
zakat produktif telah membawa keberkesanan yang cukup ketara kepada usahawan
asnaf yang berasal daripada golongan miskin.
Mila Sartika (2008) pula menjelaskan
pengaruh besarnya agihan zakat produktif terhadap pendapatan mustahik di Lembaga Amil Zakat (LAZ)
Yayasan Solo Peduli, Surakarta. Hasil kajian terhadap bantuan modal yang
disalurkan kepada usawahan menunjukkan adanya pengaruh yang ketara antara
jumlah dana yang disalurkan terhadap pendapatan mustahik. Semakin tinggi dana yang diagihkan maka akan semakin
tinggi pula pendapatan mustahik.
Namun demikian, kejayaan (keberhasilan) pengagihan
zakat produktif tidak hanya dipandang dari peningkatan pendapatan. Rosbi Abd
Rahman dan Sanep Ahmad (2010) menjelaskan bahawa pengukuran keberkesanan agihan
zakat hanya berdasarkan pendapatan adalah kurang tepat. Hal ini adalah kerana
keperluan manusia bukan hanya kepada harta tetapi merangkumi semua aspek yang
dikehendaki oleh Maqasid al-Syariah
iaitu agama, aqal, nyawa, keturunan dan harta. Muhammad Yasir Yusuf (2010) pula
menjelaskan pengagihan zakat produktif secara lestari akan mencapai maslahah yang bersifat dharuriyat secara perlahan tetapi pasti.
Selanjutnya mustahik yang telah menerima zakat produktif akan berusaha secara
berdikari sehingga tidak lagi bergantung pada zakat. Ketika mustahik telah mampu berdikari dalam berusaha, maka ia terbebaskan daripada kemiskinan.
Hal ini bererti bahawa maksud daripada syariah seperti menjaga agama, jiwa dan
kemuliaan tercapai dengan baik.