Zakat
merupakan amalan yang mempunyai kedudukan istimewa dalam Islam. Berzakat
termasuk salah satu rukun daripada lima rukun Islam. Seorang muslim yang
berzakat bererti telah melaksanakan salah satu kewajipan pokok dalam Islam. Sebagaimana
dijelaskan dalam sebuah hadith bahawa Islam itu ibarat sebuah kemah yang
didirikan dengan lima tiang. Satu tiang tengah yang disokong oleh empat batang
tiang penjuru. Sekiranya tiang tengah tiada maka kemah itu tidak akan
dapat berdiri dengan teguh dan tiadanya tiang-tiang penjuru maka kemah juga
tidak dapat didirikan. Tiada satu batang tiang penjuru maka kemah juga tidak
dapat berdiri dengan sempurna, cacatlah kemah itu. Oleh itu, suatu ketetapan
kepada diri seorang muslim untuk menegakkan semua rukun Islam.
Dalam
al-Qur’an terdapat banyak ayat yang memerintahkan setiap muslim untuk berzakat.
Al-Qur’an menyebut kata zakat secara langsung sebanyak 30 kali. Antara jumlah
itu, sebanyak 26 kali kata zakat dimunculkan beriringan dengan kata solat dalam
sesebuah ayat. Hal ini menunjukkan terdapat kesempurnaan hubungan antara dua
ibadah ini dalam hal keutamaan dan kepentingannya. Tengku Muhammad Hasbi
Ash-Shiddiqi dalam bukunya Pedoman Zakat menyebutkan bahawa zakat adalah
seutama-utama ibadah maliyah dan
solat adalah seutama-utama ibadah badaniyah.
Ibadah maliyah bermaksud ibadah yang
berkaitan harta atau kekayaan manusia, manakala ibadah badaniyah berkaitan dengan jasad atau tubuh badan manusia.
Definisi
zakat sering dikaitkan dengan makna kata thaharah
yang bermaksud bersih. Dalam surah at-Taubah ayat 103, ketika Allah SWT
menyerukan perintah zakat, Allah SWT berfirman: Ambillah zakat daripada harta mereka untuk membersihkan dan menyucikan
mereka.
Ayat
al-Qur’an ini menunjukkan adanya misi pembersihan dan penyucian dalam perintah
zakat. Dapat pula dirumuskan bahawa di antara sekian banyak hikmah dalam
perintah zakat, terkandung salah satu manfaat berzakat sekaligus menjadi
keutamaannya iaitu sebagai pembersih. Namun tentang apa dan siapa yang
dibersihkan oleh zakat tidak disebutkan secara tersurat dalam ayat tersebut.
Oleh itu, masih terbuka untuk difahami secara umum. Pembersihan oleh zakat
boleh berlaku sama ada bagi muzakki
(pembayar zakat), golongan asnaf (penerima zakat), harta zakat atau pelbagai
hal lainnya.
Matlamat
utama adanya perintah zakat iaitu pertolongan daripada orang kaya kepada
orang-orang yang hidup dalam kesusahan. Apabila dihubungkan misi pembersihan
dalam zakat dan matlamat utama perintah zakat, maka dapat disimpulkan bahawa
adanya usaha pembersihan kepada golongan miskin melalui agihan zakat. Namun,
bagaimanakah usaha ini boleh dilakukan? Siapa yang berkuasa dalam menjalankan
usaha ini? Dan apa natijah yang akan diperoleh daripada usaha ini secara amnya?
Persoalan-persoalan inilah yang menjadi cabaran dalam pengagihan zakat. Cabaran
yang menjadi suatu tantangan umat Islam masa kini dalam memperkasa lagi
pengagihan zakat.
Secara
naluri manusia menginginkan kesejahteraan dan keselesaan dalam kehidupan. Dalam
memenuhi keselesaan diperlukan pelbagai macam faktor bagi mencapainya. Namun
secara zahir, pandangan daripada akal manusia, keselesaan hidup hanya boleh
dipenuhi jika manusia memiliki harta benda. Walaupun sebenarnya terdapat faktor
keselesaan hidup tidak berkait harta benda seperti kesihatan, kepentingan ilmu
dan kedamaian jiwa.
Pandangan
zahir inilah yang sebenarnya mendorong manusia untuk setiap harinya berusaha
untuk mendapatkan harta benda. Pelbagai usaha dilakukan untuk mengejar harta
benda. Sebanyak apapun tenaga dan fikiran dan sejauh apapun jarak yang perlu
ditempuh akan dilakukan semata-mata untuk mengejar harta benda. Bahkan
kadang-kadang manusia terperangkap melakukan perkara-perkara yang dilarang
agama untuk memenuhi keinginan tersebut.
Naluri
mengejar keselesaan ini terasa sangat kuat dalam diri golongan fakir dan
miskin. Sebab kemiskinan memang tidak menyenangkan bagi kehidupan. Kemiskinan
adalah salah satu fitnah dalam kehidupan manusia yang dikhuatiri bahayanya.
Kerana desakan kemiskinan, sebahagian orang melakukan jenayah pencurian, rasuah
dan menipu.
Oleh
itu, Rasulullah SAW meminta perlindungan kepada Allah SWT daripada fitnah
kemiskinan dalam sebuah doa yang berisi permohonan perlindungan daripada
pelbagai hal buruk bagi kehidupan dunia dan akhirat. Bunyi doa beliau adalah
seperti berikut:
Ya, Allah. Sesungguhnya aku
berlindung kepada-Mu daripada fitnah neraka dan siksa neraka. Aku berlindung
kepada-Mu daripada fitnah kubur. Aku berlindung kepada-Mu daripada siksa kubur.
Aku berlindung kepada-Mu daripada fitnah kekayaan. Aku berlindung kepada-Mu
daripada fitnah kefakiran. Dan aku berlindung kepada-Mu daripada fitnah Dajjal.
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Ujian
kemiskinan akan semakin menyiksa orang-orang fakir dan miskin jika tidak ada
kepedulian orang-orang kaya di persekitarannya. Justru, Islam sangat menekankan
kesedaran sosial para pemilik harta dengan kewajipan berzakat. Maka, salah satu
kenyataan yang disampaikan Rasulullah SAW kepada Muaz bin Jabbal ketika beliau
diangkat sebagai gabenor di Yaman adalah seperti berikut:
Maka beritahukanlah kepada mereka
bahawa Allah mewajibkan mereka untuk membayar zakat yang diambil daripada
orang-orang kaya dan diberikan kepada orang-orang miskin dalm kalangan mereka.
Hadith
yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim ini mengingatkan adanya pasangan
abadi bagi kekayaan iaitu kemiskinan. Zakat menghubungkan kedua pihak agar
tidak terjadi jurang pemisah di antara mereka. Dengan berzakat, si kaya
mengakui hak si miskin. Ketika orang-orang kaya mengeluarkan hartanya untuk
membantu orang-orang miskin, maka hilanglah kebencian dan kemarahan mereka.
Akhirnya orang-orang miskin itu hidup rukun dengan orang-orang kaya.
Sejak
zaman Rasulullah SAW dan khulafa ar-Rasyidin, pengurusan zakat dijalankan oleh
petugas yang diutus oleh Nabi Muhammad SAW dan amirul mukminin. Para petugas
dilantik untuk mengutip zakat daripada orang-orang yang berkewajipan
mengeluarkan zakat. Selanjutnya mereka pula yang bertanggung jawab mengagihkan
dana zakat tersebut.
Pemerintah
sememangnya memiliki peranan yang sangat penting dalam pengurusan zakat. Dengan
kuasa yang dimiliki, pemerintah bukan hanya bertanggung jawab dalam mengutip
zakat daripada orang-orang kaya, tetapi diperlukan pula peranan dalam
pengagihan zakat. Melalui institusi zakat yang dibentuk, pemerintah dapat
mengurusi zakat secara lebih efektif dan teratur. Dengan demikian matlamat
pengagihan zakat dapat tercapai dengan baik.
Pengagihan
zakat oleh institusi zakat paling tidak memilki tiga keunggulan. Pertama, penjagaan
atas kehormatan bagi asnaf zakat. Kedua, pengurusan secara kelembagaan akan
menghasilkan polisi yang lebih baik daripada kemampuan individu. Dan ketiga,
keadilan pengagihan kepada lapan asnaf sebab telah dikenal pasti asnaf yang
berhak menerima agihan zakat.
Dalam
mengusahakan peningkatan taraf hidup golongan fakir dan miskin, maka polisi
institusi zakat sangat penting dan menentukan. Kepentingan yang dimaksud adalah
bagaimana polisi agihan zakat dapat mengatasi fitnah kemiskinan secara
berterusan. Polisi yang tidak tepat menjadikan agihan zakat tidak membawa impak
positif bagi kehidupan asnaf.
Dewasa
ini masih didapati adanya pengagihan zakat yang tidak tepat. Kes-kes yang
berlaku misalnya asnaf yang menggunakan agihan zakat untuk perkara maksiat,
seperti untuk berjudi, membeli minuman keras, dan untuk pergi berhibur. Perkara
seperti ini bukan mustahil berlaku. Di samping itu, pengagihan zakat
kadang-kadang tidak mendidik asnaf. Akibatnya ramai asnaf yang masih
berperilaku miskin dengan menggantungkan keperluannya daripada agihan zakat.
Maka, untuk mengatasi permasalahan ini diperlukan polisi-polisi yang jitu guna
memperkasa agihan zaka sehingga perkara-perkara sebegini dapat dihindarkan.
Sebagai
langkah mula-mula sebaiknya institusi zakat mengenal pasti asnaf yang menerima
zakat. Institusi zakat hendaklah mengenali latar belakang diri asnaf dengan
sungguh-sungguh. Langkah ini bertujuan untuk memastikan dana zakat yang
diberikan kepada asnaf akan digunakan secara tepat.
Selepas
itu, perlu dilanjutkan pula dengan membuat program-program yang dapat mendidik
asnaf. Asnaf perlu diberikan arahan dan bimbingan agar menggunakan dana zakat
dengan baik. Langkah ini bertujuan untuk membantu asnaf memiliki kekuatan untuk
keluar daripada kemiskinan dan boleh hidup berdikari. Kekuatan ini bukan hanya
dari aspek kemahiran berusaha, tetapi yang lebih penting adalah aspek spiritual
asnaf. Kekuatan spiritual akan menghantarkan asnaf menjadi peribadi yang
bersungguh-sungguh dalam berusaha, malu untuk meminta-minta dan malu untuk
menggantungkan nasib dirinya terhadap dana zakat. bahkan akan lebih hebat lagi,
bimbingan spiritual pula akan melahirkan pribadi asnaf yang bertekad
sungguh-sungguh untuk keluar daripada fitnah kemiskinan dan berubah menjadi
penderma di masa hadapan. Inilah kejayaan sebenar daripada pengagihan zakat.
Natijahnya,
akan lahirlah peribadi-peribadi mulia dalam masyarakat Islam. Peribadi-peribadi
yang rajin berusaha mencari rezeki dengan cara yang halal dan seterusnya
apabila telah memiliki kekayaan tidak lupa untuk mengagihkannya semula. Bagi
yang telah berusaha namun masih belum mencukupi keperluan diri dan keluarganya,
maka tetap bersabar dengan menahan diri daripada meminta-minta dan tidak
berdengki kepada orang-orang kaya. Apabila dirinya mendapat bantuan zakat, maka
digunakan zakat itu secara bertanggung jawab.
Terbangunnya
kualiti diri asnaf sama ada dari aspek material mahupun aspek spiritual inilah
kejayaan sebenar yang dicita-citakan oleh pemerintah melalui institusi zakat.
Oleh itu, siapa sahaja yang diberi amanah bagi mengurusi pengagihan zakat hendaklah
tidak melupakan usaha mendidik asnaf secara holistik. Ertinya aspek yang
dibangun bukan hanya material, tetapi aspek spiritual juga diambil berat.
Sehingga nantinya lahirlah asnaf yang berjaya dengan kejayaan yang holistik
pula, memiliki kekayaan material yang mencukupi dan lebih penting lagi memiliki
kekayaan jiwa sehingga menjadi peribadi yang membawa manfaat bagi masyarakat.